USMFC tumbangkan PDRM


PULAU PINANG, 31 Jan. – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi pasukannya, USM FC membuka tirai Liga Perdana 2011 penuh bermakna apabila berjaya menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menundukkan PDRM 1-0.

Jaringan tunggal USM FC dihasilkan oleh Muhammad Afzan Zainal Abidin pada awal minit ke-10 hasil gerakan menarik dari luar kotak penalti.

Di hadapan kira-kira 2,000 penonton yang hadir, USM bermula garang dengan mengatur beberapa gerakan menarik di bahagian serangan yang kerap mencemaskan banteng pertahanan dan penjaga gol pasukan PDRM.

Gol tunggal jaringan Muhammad Afzan Zainal Abidin diperoleh menerusi tendangan padu melangkaui penjaga gol PDRM, Muhd Hamdan Sairi selepas menerima hantaran kemas dari luar kotak penalti oleh Mohd Failee Mohd Ghazli.

PDRM yang cuba bangkit mula mengatur beberapa serangan berbahaya dari segenap penjuru, tetapi benteng pertahanan USM yang diketuai Mohd Fariss Azlan Mat Isa berjaya mengawal dengan baik sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan agak seimbang dan kedua-dua pasukan dilihat tidak banyak melakukan serangan-serangan merbahaya ke arah gawang gol, sebaliknya banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Minit ke-65 menyaksikan detik cemas apabila PDRM nyaris menyamakan kedudukan menerusi sepakan dari penjuru yang gagal ditangkap kemas penjaga gol USM, Jeevanathan Gunasekaran dan ditolak masuk oleh Fazuan Abdullah.

Gol tersebut bagaimanapun tidak dikira kerana penyerang PDRM itu telah pun berada pada posisi ‘off side’.

Pengurus Pasukan, Mohd Azizuddin Mohd. Shariff berkata, secara keseluruhan pihaknya bersyukur dengan kemenangan sulung itu dan menyifatkan ia penting dalam menyuntik semangat pemain untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan akan datang.

Pun begitu, beliau turut melahirkan sedikit kekecewaan kerana berpendapat bahagian tengah pasukan sedikit goyah dan keseluruhan pemain hanya bermain pada tahap 60 peratus daripada prestasi sebenar.

``Saya bimbang pemain kita terlalu yakin kerana menganggap perlawanan ini mudah disebabkan prestasi mereka yang cemerlang pada perlawanan persahabatan lalu, namun secara keseluruhannya, ia adalah permainan yang agak seimbang,” katanya.

Keseluruhannya, USM FC berjaya mengutip tiga mata berharga apabila kekal mendahului PDRM dengan jaringan 1-0 pada perlawanan sulung Liga Perdana di Stadium USM, di sini semalam.

USM FC kini sedang bersiap bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang ATM di Stadium Batu Kawan pada Isnin depan.

No comments:

Post a Comment