USMFC guna khidmat 7 pemain luar

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) mendapatkan khidmat tujuh pemain luar bagi mempamerkan rentak permainan lebih agresif.

Kehadiran tujuh tenaga luar itu dianggap penyuntik semangat bagi merealisasikan hasrat muncul empat pasukan terbaik Liga Perdana musim depan yang bermula pertengahan Januari.

Oleh Anuar Asmadi
am(a)hmetro.com.my


“Kami berhajat berada dalam empat pasukan terbaik selepas mengotakan hasrat kekal dalam Liga Perdana,” kata jurulatih USM, S Veloo.

Bagi menguatkan bahagian pertahanan, USM berjaya mendapatkan khidmat pemain Perlis, Shariman Che Omar serta penjaga gol Johor FC, G Jivanathan.


“Saya mahukan khidmat dua tenaga luar yang mampu menguatkan benteng pertahanan,” katanya.


Veloo berkata, kehadiran kedua-dua pemain berpengalaman itu diyakini mampu memantapkan pertahanan pasukannya.

“Musim lalu, benteng kami agak goyah dan mudah dibolosi baik di tempat sendiri ataupun di gelanggang lawan.” Dalam usaha menguatkan bahagian tengah pula, USM mendapatkan khidmat bekas pemain skuad Harimau Muda, Mohd Akmal Md Nor yang dibantu Mohamad Azrul dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan S Tinakaran dari skuad Liga Super Pulau Pinang musim lalu.


USM juga berpuas hati apabila bekas pemain Perak, Mohd Hafiz Abd Rahim dan Faili Md Ghazali dari Pulau Pinang menyertai skuad ini bagi memantapkan bahagian serangan.

“Kehadiran tujuh pemain luar ini sudah pasti menguatkan jentera kami bagi musim baru.” USM mengekalkan 17 pemain musim lalu dan untuk menguji pasukan, USM mengadakan empat perlawanan persahabatan bermula dengan pertemuan menentang Kelantan di Kota Bharu, Sabtu ini.


Pada 29 Disember, mereka bertandang ke Kangar untuk bertemu Perlis dan dua hari kemudian ke Lumut untuk menentang Sinar Dimaja sebuah lagi pasukan Liga Perdana.


USM juga katanya menanti kedatangan kelab Liga Divisyen Satu Selangor pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri. Musim lalu, USM menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan yang bertanding dalam Liga Perdana.

No comments:

Post a Comment