USMFC terus beraksi Liga Perdana 2011



dr. M. Sidek Karim:

Untuk makluman semua warga kampus, pasukan USM FC telah mengesahkan penyertaan pertandingan Liga Perdana 2011 selepas mendapat kebenaran daripada Pengurusan Tertinggi USM. Pasukan USM FC telah mula menjalani latihan mulai awal Oktober lalu, walaupun kedudukan awal penyertaan yang masih belum disahkan. USM FC juga mengekalkan sebahagian besar pemain-pemain musim 2010 dan akan mengambil beberapa pemain baru bagi mengukuhkan lagi pasukan ini bagi musim baru 2011.

Pihak Pengurusan pasukan juga mengekalkan Encik Veloo a/l Sinnathamby sebagai ketua jurulatih bagi tahun 2011 dan akan ada penambahan baru di barisan kejurulatihan yang akan dimaklumkan kemudian.

Pihak Pengurusan USM FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Universiti kerana memberi kebenaran untuk menyertai Liga Perdana bagi musim 2011. Walaupun tanpa bantuan kewangan sepenuhnya pihak Pengurusan USM FC akan berusaha mencari sumbangan/peruntukan kewangan dari pihak luar bagi menguruskan perjalanan pasukan ini bagi tahun hadapan. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak Pengurusan USM FC untuk mencari peruntukkan kewangan bagi mengekalkan pasukan ini dalam Liga Perdana 2011.

Terima kasih juga diucapkan kepada pemain-pemain yang terdiri daripada staf USM sendiri yang sanggup berkorban dan begitu bersemangat serta memberi sokongan penuh kepada Pengurusan pasukan untuk beraksi lagi pada tahun hadapan demi nama USM. Semoga segala perancangan berjalan lancar dengan sokongan pihak Universiti, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Pengurusan Pasukan & Para Pemain.

"Kami Memimpin", "Kami Komited" & "Kami Berdisiplin" kerana kami membawa nama Universiti Sains Malaysia.

InsyaAllah....

No comments:

Post a Comment