Liga Perdana: USM FC akur kehilangan pemain tonggak - Utusan


dari Utusan Malaysia
PULAU PINANG 10 Jan. - Tanpa kehadiran pemain import serta ditambah kehilangan empat pemain utama yang berhijrah ke pasukan lain, pasukan bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM) tetap optimis biarpun menyedari laluan berliku yang bakal dihadapinya dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Jurulatih USM FC, S. Veloo berkata, saingan musim ini dijangka lebih mencabar dengan kehadiran beberapa pasukan negeri selain beberapa faktor yang merencatkan persiapan pasukannya.

Menurutnya, USM FC cukup terasa kehilangan dua tonggak utama iaitu penyerang sensasi, Mohd. Failee Ghazali yang dilamar Perak dan khidmat penjaga gol, G. Jeevanathan yang akan beraksi untuk Selangor.

"Kami juga tidak mampu menyediakan pemain import sama seperti pasukan lain sebaliknya terpaksa bergantung kepada pemain muda tempatan dan bakat -bakat yang terdiri daripada kakitangan USM.

"Kami juga kehilangan masa latihan berharga selama lebih sebulan keranaberaksi dalam saingan Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini atas pelawaan Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang," katanya.

Beliau ditemui selepas membawa anak buahnya mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Tuanku Syed Putra di sini, baru-baru ini.

Menurut Vello, beliau kini terpaksa menggunakan pemain muda termasuk dua orang yang berusia 17 tahun dari Sekolah Sukan Mutiara Impian.

Jelasnya, bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Jeevanathan, pihaknya berjaya mendpatkan bekas penjaga gol Kedah, Al-Hafiz Hamzah yang diharap mampu menguatkan pasukan.

"Sasaran kami pada musim ini adalah berada dalam kelompok enam pasukan teratas," ujarnya.

No comments:

Post a Comment