Empat kelab tunjuk permulaan garang - Berita Harian

dari Berita Harian Online

PEMAIN USM FC, Muhamad Afzan (kiri) menahan asakan pemain Pos Malaysia, Mohd Hafizulldin dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium USM, malam tadi. - Foto Rosli Ahmad

Empat kelab tunjuk permulaan garang
Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Azidan Nahar
bhsukan@bharian.com.my
2012/01/10

EMPAT pasukan berstatus kelab - Tentera, USM FC, MP Muar FC dan Sime Darby - memulakan aksi dengan kemenangan apabila mengalahkan pencabar mereka masing-masing dalam aksi pertama Liga Perdana, semalam.

Dua pasukan negeri yang ‘turun pangkat’ untuk beraksi dalam Liga Perdana musim ini, Pahang dan Perlis, mengalami nasib berbeza apabila skuad Tok Gajah menang tipis 1-0 ke atas MBJB FC manakala Singa Utara menerima aib dibelasah 2-7 kepada MP Muar FC.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), penyerang import Tentera, Marlon Alex James membuktikan sentuhan penyudahnya masih berbisa apabila menjaringkan dua gol membantu barisan B Sathianathan menang 2-0 ke atas NS Betaria FC.
Gol pertama pemain St Vincent & Grenadines itu terhasil seawal minit kedua selepas keadaan kelam kabut di depan pintu gol sebelum menambah satu lagi gol peribadinya pada minit ke-22.

Di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, MP Muar melangkah pada aksi pembukaan Liga Perdana musim ini apabila membelasah Perlis 7-2 menerusi jaringan Khairul Anwar Shahruddin pada minit kelapan, 82, Mohd Alafi Mahmud, (m-24, 52, 56 dan 79) dan Mohd Azuwad Md Arip (m-80).

Walaupun cuba memberikan saingan menerusi dua gol Mohd Rizal Mohd Ghazali pada minit ke-58 dan 69, ia belum cukup untuk menyekat dominasi tuan rumah daripada berpesta gol.

Di Stadium Mini Perbandaran Temerloh, Pahang yang terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim ini seperti cepat melupakan episod duka selepas menang 1-0 ke atas MBJB FC.
Di Stadium USM, Pulau Pinang, USM FC yang ketinggalan 0-1 pada babak pertama, pantas menukar corak permainan dan menjaringkan dua gol di separuh masa kedua mengatasi Pos Malaysia 2-1.

Di Stadium Selayang, Sime Darby turut mencatat kemenangan ke atas Harimau Muda B 2-1.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor gagal memanfaatkan peluang gelanggang sendiri selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Polis.

No comments:

Post a Comment