Dendam terbalas! USMFC 1 - 0 Harimau Muda


PULAU PINANG, 20 Mei - Prestasi ala yo-yo pasukan Universiti Sains Malaysia FC (USM FC) masih berterusan, namun kali ini tuah lebih memihak kepada pasukan tuan rumah apabila berjaya menjinakkan Harimau Muda B dengan jaringan 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM, baru-baru ini.

Gol tunggal pada perlawanan itu menyaksikan penyerang USM FC, Muhammad Afzan Zainal Abidin tidak mensia-siakan peluang keemasan apabila membuat tolakan mudah di depan pintu gawang yang terbuka luas pada minit ke-7, selepas menerima hantaran silang dari penyerang ‘kembarnya’, Failee Ghazali.

Namun selepas itu, perlawanan bertukar menjadi agak hambar dengan kedua-dua pasukan dillihat lebih berhati-hati dalam mengatur serangan dan seringkali hantaran-hantaran yang dilakukan dapat dipintas mudah oleh pihak lawan.

Minit-minit terakhir separuh masa pertama, USM FC hampir menggandakan jaringan apabila larian solo Failee Ghazali dari tengah padang berjaya memperdayakan empat pertahanan Harimau Muda B, namun rembatannya yang hanya berhadapan dengan penjaga gol, melewati palang.

Separuh masa kedua sekali lagi memperlihatkan USM FC memperolehi peluang keemasan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena pertahanan Harimau Muda B, namun ia disia-siakan apabila sepakan Afzan jauh tersasar dari pintu gol.

Harimau Muda B, yang rata-ratanya diwakili pemain berusia bawah 18 tahun, dilihat lebih bersemangat pada separuh masa kedua dan banyak menguasai permainan, namun ketumpulan barisan serangan dan ketangkasan penjaga gol dan pertahanan USM FC, menidakkan peluang mereka mencari gol penyamaan.

Bagi jurulatih USM FC, S. Veloo, beliau menyifatkan kemenangan ini sangat bermakna, apatah lagi setelah pihak pengurusan mengambil langkah berani menggugurkan beberapa pemain utama apabila liga memasuki pusingan kedua.

``Saya berterima kasih kepada pemain-pemain yang menunjukkan semangat yang tinggi, walaupun berhadapan tekanan berikutan prestasi pasukan yang tidak menentu,’’ katanya.

Tambahnya lagi, dengan kemenangan ini, menyuntik moral pasukan dalam usaha menempatkan diri dikalangan empat pasukan terbaik untuk ke Piala Malaysia.

USM FC kini menduduki tangga keempat Liga Perdana, mengumpul 31 mata hasil 10 kemenangan dan akan bertandang ke Stadium Kuching, Sarawak bagi perlawanan seterusnya.